• Misteri nelayan hilang terjawabMayat mangsa diusung keluar daripada kenderaan polis selepas tiba dari Jeti APMM Bukit Kuang.
 1 / 3 
MISTERI NELAYAN HILANG DI LAUT AKHIRNYA TERJAWAB |CHUKAI – “Kami tak duga ayah temui ajal di laut sebab semasa keluar rumah jam 7 pagi, ayah nampak sihat.”

Demikian kata Mohd Haikal Shafie, 23, anak kepada Shafie Sari, 53, yang ditemui maut dalam bot fiber kira-kira 8 batu nautika dari perairan Kemaman, pagi semalam.

Penemuan bot mangsa kira-kira jam 9.30 pagi itu mengungkap misteri kehilangannya yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Merah, Paka, Dungun, sejak malam kelmarin selepas keluar menangkap ikan seorang diri.

Tidak pulang seperti biasa

Pada hari kejadian, Mohd Haikal berkata, bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi kelmarin, namun tidak pulang ke rumah jam 5 petang seperti kebiasaan.

Menurutnya, keadaan itu membimbangkan ahli keluarganya berikutan bapanya sebelum ini tidak pernah lewat pulang ke rumah sekiranya keluar menangkap ikan di laut.

“Sudah menjadi rutin ayah setiap hari akan keluar jam 7 pagi dan pulang semula ke rumah jam 5 petang.

“Tapi semalam (kelmarin) sehingga lebih jam 5 petang, ayah masih tidak pulang menyebabkan saya, mak dan adik beradik lain gelisah kerana khuatir sesuatu yang buruk menimpanya,” katanya.

Hanyut ke perairan Kemaman

Susulan itu, Mohd Haikal berkata, nelayan tempatan segera melaksanakan operasi mencari bapanya, tetapi usaha tersebut menemui jalan buntu.

Menurutnya, dia sekeluarga kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Paka pada jam 9.30 malam kelmarin setelah bapanya gagal ditemui.

“Ayah tidak pernah lewat pulang ke rumah dan disebabkan bimbang keselamatannya, saya sekeluarga buat laporan polis.

"Susulan laporan itu, polis dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Paka dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat. Selain pihak berkuasa, beberapa nelayan turut sama mencari ayah di perairan sekitar," katanya.

Bagaimanapun, kehilangan Shafie terjawab setelah bot dinaikinya yang hanyut hingga ke perairan Kemaman dekat Pantai Teluk Mak Nik, Geliga, di sini, ditemui seorang rakan yang turut berusaha mencarinya.

Bot Shafie dikesan berada di sekitar perairan Kijal kira-kira jam 5.30 pagi melalui GPS.

Sebaik ditemui, mayat Shafie dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Bukit Kuang, Kijal seterusnya Unit Forensik, Hospital Kemaman kira-kira jam 11 pagi untuk dibedah siasat.

Jenazah kemudiannya dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Gemia Limbong, Paka.

Tiada tanda hidap penyakit

Sementara itu, jiran mangsa, Anuar Ali Yusof, 42, berkata, Shafie tidak pernah menunjukkan sebarang tanda dia ada menghidap apa-apa penyakit.

“Mungkin dia ada menghidap penyakit, namun merahsiakan penyakit itu daripada keluarga, rakan dan keluarga.

"Kehilangan Shafie membuatkan saya dan rakan amat terasa sebab dia adalah seorang yang baik serta peramah. Tapi Alhamdulillah, Allahyarham bukan lemas sebaliknya meninggal dunia dalam botnya sendiri yang menjadi tempat dia mencari rezeki,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Deputi Superintendan Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.